Panduan Merancang Majlis Perkahwinan
Merancang untuk berkahwin tetapi masih tak tahu apa yang mahu diutamakan dalam perancangan hari bahagia anda tersebut? Oleh yang demikian, saya menyediakan satu artikel ringkas tetapi penuh dengan info. Semoga ia dapat membantu anda. Di sini, saya menyediakan 10 perkara yang perlu diambil kira untuk satu majlis perkahwinan.
1. Bajet
- Bajet haruslah menjadi perkara yang paling utama dalam merancang majlis perkahwinan anda kerana hanya setelah mengambil kira jumlah bajet, barulah anda boleh merancang perkara yang akan anda lakukan seterusnya. Di dalam bajet utama juga anda harus meletakkan perkara asas seperti; tempat majlis, jumlah tetamu undangan, katering, tema, cincin, pakaian/gaun, kad undangan serta jenis hiburan yang akan diadakan pada majlis itu nanti.
2. Tarikh
- Setelah menetapkan bajet, anda kini perlu menetapkan tarikh pula. Sila pastikan anda memilih 3 tarikh yang anda rasakan sesuai sebelum anda membuat perbincangan bersama pasangan anda atau bersama ibubapa anda atau pasangan.
- Sebab lain yang perlu diambil kira adalah seperti tarikh pemberkatan perkahwinan di gereja dan termasuk tarikh untuk majlis resepsi yang mungkin perlu anda semak dengan penyedia lokasi seperti restoran, hotel atau dewan serbaguna.
- Pelbagai perkara yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa, oleh sebab itu, jika anda mempunyai 2-3 tarikh yang bersesuaian, anda akan dapat mengelakkan masalah pada saat-saat akhir.
3. Tempat Majlis

- Setelah mendapat beberapa tarikh yang sesuai, maka kini anda perlu menetapkan tempat majlis pula. Ini adalah perkara yang harus anda dan pasangan serta melibatkan kedua ibu bapa bakal pengantin untuk berbincang. Ia seharusnya dibawa berbincang ketika menetapkan tarikh majlis.
- Memilih untuk mengadakan majlis resepsi di restoran atau hotel adalah perkara yang paling mudah kerana setiap restoran/hotel sudah pastinya mempunyai pakej yang telah tersedia, lengkap dengan menu hidangan, tema & sebagainya. Segala urusan akan diuruskan oleh pihak restoran/hotel.
- Bagaimana pula jika anda memilih untuk membuat resepsi di kediaman sendiri? Ini adalah perkara biasa di negara kita. Dengan bajet yang rendah, ada yang memilih untuk mengadakan sahaja majlis resepsi di kediaman atau dewan masyarakat atau dewan suarah. Bagi yang memilih pilihan ini, anda harus mencari pula penyedia katering untuk majlis resepsi tersebut. Perkara lain seperti menu sajian, jumlah sajian, hiasan dan tema majlis harus dilakukan sendiri oleh anda. Jika tidak mahu untuk membuat hiasan sendiri, anda perlu mencari pula vendor untuk dekorasi majlis anda.
4. Senarai Tetamu Jemputan (Guest List)
- Menyediakan satu senarai lengkap tetamu jemputan mungkin salah satu perkara yang agak mencabar kerana ia akan melibatkan jumlah tempat duduk/kerusi yang diperlukan untuk dipadankan dengan jumlah meja yang telah anda sediakan mengikut bajet masing-masing. (Sila abaikan jumlah tempat duduk sekiranya anda menyediakkan jamuan ala ‘buffet’, tetapi pastikan makanan & minuman yang akan disediakan mencukupi.)
- Mulakan dengan menyenaraikan saudara dekat, teman rapat serta rakan sekerja anda. Seterusnya termasuk jiran anda atau sekiranya majlis anda diadakan di sekitar kampung halaman anda, jangan lupa menjemput orang kampung juga.
- Hanya setelah anda habis menyenaraikan nama tetamu jemputan ini, anda boleh menyuai padankan mereka pada meja/tempat duduk yang sesuai.
5. Fotografi/Video


- Anda sendiri mungkin memiliki sebuah kamera DSLR yang lebih kurang atau sama seperti yang dimiliki oleh jurugambar perkahwinan profesional dan mungkin anda mahu abaikan bahagian ini, tetapi sebelum itu, fikirkan tentang hasil gambar hari terindah anda itu nanti. Jurugambar profesional bukan sahaja dilengkapi dengan peralatan kamera yang baik, malah terlatih untuk mengambil gambar setiap saat penting majlis anda. Jurugambar juga akan melakukan banyak tugasan lain selepas mengambil gambar seperti proses 'editing' hingga ke percetakkan album gambar. Kos setiap jurugambar mungkin berbeza mengikut kawasan dan juga hasil produk/album yang dihasilkan. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi anda untuk berjumpa dan berbincang dengan jurugambar/video sebelum mendapatkan servis dari mereka.
- Satu persoalan yang selalu saya dengar adalah, "Kenapa membuang duit untuk jurugambar?" -Hari perkahwinan secara umumnya adalah hari indah yang hanya berlaku sekali seumur hidup, foto/video adalah salah satu daripada cara terbaik untuk mengabdikan kenangan indah tersebut. Saya pernah mendengar satu cerita mengenai pasangan yang meraikan perkahwinan dan meminta adik-beradik mereka untuk mengambil gambar & video majlis mereka. Mungkin pada ketika saya menulis blog ini, gambar/video perkahwinan mereka masih lagi berada dalam 'Hard Disk' komputer mereka manakala saya telah menghasilkan banyak album gambar perkahwinan.
- Setiap pasangan yang mahu berkahwin harus mempunyai seorang jurugambar untuk majlis mereka kerana hari perkahwinan anda hanya berlaku sekali dan ia tidak boleh diulang semula.
6. Jurusolek & Andam (Bridal)
- Mungkin ada yang keliru kenapa saya mengasingkan antara fotografi & servis andaman? Sebenarnya, pusat andaman biasanya dimiliki oleh jurusolek/juruhias. Mereka tidak dilatih untuk mengambil gambar tetapi adalah pakar dalam solekkan (make-up).
- Servis andaman menyediakan gaun, baju dan aksesori untuk pengantin dengan pakej harga yang rendah hingga ke ribuan ringgit mengikut jenis gaun/pakaian serta aksesori yang dipilih oleh pengantin/pelanggan. Ada juga sesetengah pusat andaman ini mempunyai servis fotografi sekali yang kebiasaannya mengambil gambar untuk sesi pra-perkahwinan.


7. Kad Jemputan
- Kad jemputan adalah antara yang perlu dan penting dalam perancangan majlis perkahwinan tetapi pastikan anda HANYA menempah atau mencetak kad jemputan setelah anda menetapkan tarikh dan tempat majlis perkahwinan tersebut. Jika tidak, anda mungkin terpaksa mencetak semula jika berlaku pertukaran tarikh/tempat dan ini menyebabkan kerugian.
- Secara amnya, kad jemputan adalah salah satu cara klasik/tradisional atau lebih bersifat individu untuk menjemput tetamu jemputan. Bergantung kepada bajet, kad-kad ini ada terdapat dalam beberapa jenis seperti jenis klasik yang berlipat, jenis poskad atau yang comel sebesar kad nama(business name card).
- Pada era digital kini, anda mungkin juga berhasrat untuk berjimat sedikit pada bahagian ini dengan menggunakan media sosial tetapi pada pendapat individu kami, adalah lebih baik jika menggunakan kad jemputan.
8. Pengapit (Best man & Bride's maid)

- Ia mungkin tidak tertakluk kepada agama atau bangsa tertentu dan ia juga mungkin tidak semestinya satu pasangan pengantin itu untuk mempunyai pengapit. Jika perlu, anda boleh meminta adik-beradik atau teman rapat anda untuk menjadi pengapit tetapi haruslah mendapat persetujuan mereka. Sepasang (lelaki & perempuan) diperlukan tetapi jika ramai adik-beradik/saudara atau rakan anda yang mahu menjadi pengapit, adalah lebih seronok dan kelihatan lebih menarik. Jadi, jangan lupa untuk menyenaraikan beberapa nama. Juga pastikan anda menyediakan sedikit wang saguhati atau bersama menyediakan pakaian yang nampak seragam.
9. Cenderahati (Door Gift)
- Anda mungkin tidak mahu tetamu di majlis anda pulang dengan tangan kosong. Cenderahati (Door Gift) adalah cara terbaik untuk memberikan tanda terima kasih kepada tetamu jemputan anda.
- Sejak sekian lama, ia biasa diberikan dalam bentuk gula-gula yang dibungkus sama ada dalam kotak kecil yang berhias atau dalam bungkusan kecil plastik berhias. manakala dalam tradisi Melayu di Malaysia, mereka biasanya memberikan 'bunga telur', telur dan bunga plastik yang dihias bersama. Anda juga boleh memilih pelbagai cara lain yang lebih kepada ciri unik majlis anda. Pada perkahwinan saya sendiri, saya menggunakan rantai kunci (Keychain) yang berbentuk seperti sape' (sejenis alat muzik tradisi Dayak) dibungkus dalam plastik kecil dengan gambar perkahwinan disertakan di dalam dengan ayat 'Terima Kasih'. Ia adalah cara individu saya untuk memberikan terima kasih kepada tetamu saya. Ada banyak lagi cara lain yang boleh anda fikirkan dan ia bergantung kepada kreativiti masing-masing.
10. Tema


- Perkara terakhir yang anda mungkin perlu disenaraikan adalah tema majlis. Perkara ini mungkin wajib atau tidak kerana ia adalah terpulang kepada setiap individu tersebut. Tema bukan sahaja tertakluk kepada hiasan seluruh dewan atau tempat majlis tetapi juga untuk penambah seri majlis anda. Ada juga yang hanya memerlukan hiasan laman belakang (back drop) pentas utama.
- Sesetengah tema perkahwinan mempunyai kos yang berlainan mengikut jenis tema yang dipilih. Terdapat tema yang menitik beratkan sesetengah warna atau bunga. Ia boleh dilakukan sendiri jika anda cukup kreatif tetapi lebih mudah sekiranya tanggungjawab tersebut anda serahkan sahaja kepada vendor yang sedia ada kerana sudah tentunya anda tiada masa untuk menghias sendiri dewan atau tempat majlis jika anda sudah sibuk di hari perkahwinan anda.
- Umum mengetahui di dalam perkahwinan Melayu, bahawa wajib terdapat pelamin. Manakala dalam beberapa bangsa/kaum di Malaysia juga mempunyai versi pelamin yang tersendiri tetapi tidak wajib digunakan dalam setiap majlis itu.
****************************************************************
Kesimpulan.
Sekian sahaja SEPULUH PERKARA yang perlu anda senaraikan dalam perancangan majlis perkahwinan anda. Senarai yang saya tuliskan di sini adalah bertujuan sebagai panduan dan tidak semestinya diikuti. Ia boleh diubah mengikut kesesuaian dan bajet yang anda sediakan.
Di samping itu juga, saya juga ada menawarkan sedikit kaunseling tentang pentingnya perancangan perkahwinan ini. Sedikit yuran dikenakan tetapi banyak perkara yang mungkin saya boleh bantu sehingga ke akhir majlis parkahwinan anda.
Saya berharap semoga anda seronok membaca artikel ini. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan, anda bolehlah menghubungi saya melalui emel di :
wez.photoworks@gmail.com
atau facebook pages kami di : fb.com/wez.photoworks
* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *


